Polis membawa seorang lelaki warga Israel, Shalom Avitan berusia 38 tahun untuk didakwa atas pertuduhan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 12 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang warga Israel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan senjata api dan memiliki empat kotak yang mengandungi 158 butir peluru.

Tertuduh, Shalom Avitan, 38, mengangguk kepala sebagai memahami dakwaan terhadapnya sebelum membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Tasnim Abu Bakar.

“Saya faham, tidak bersalah,” jawab Avitan dalam bahasa Inggeris yang berdiri di kandang tertuduh dalam keadaan tangan bergari di belakang dan dikawal ketat empat anggota polis Jabatan Siasatan jnayah (JSJ) Bukit Aman di dalam galeri awam mahkamah.

Mengikut fakta pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa ada dalam milikannya telah berdagang enam senjata api iaitu jenis Glock 19 USA 9x 10 (Serial Number AEGS 286); Sig Sauer P3205P (Serial Number 58C283463); Cougar 8000FT (Serial Number T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Serial Number: BDZZ090); N&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA (Serial Number: DSW9077) dan pistol jenis Stoeger Cougar 8000F (Serial Number 58C283463).

Dia dituduh melakukan pertuduhan itu di antara 26 Mac jam lebih kurang 6.46 petang dan 28 Mac 2024 jam lebih kurang 6.00 petang di bilik 1107, Hotel Four Seasons, Ampang, Kuala Lumpur.

Dengan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37], Hukuman (Pindaan pada Seksyen 7) dan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.

Dalam pertuduhan kedua pula, Avitan juga didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm, mengandungi 8 butir peluru (B660104); satu kotak Bullet Master Co. Ltd, mengandungi 50 butir peluru (B660105); satu kotak Bullet Master Co. Ltd, mengandungi 50 butir peluru (B660105); dan satu kotak Bullet Master Co Ltd, mengandungi 50 butir peluru (B660105) tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun, atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, suspek ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang dan menemui enam pistol antaranya SIG Sauer, Smith, Wesson serta Glock selain 200 peluru, pasport Perancis yang digunakannya untuk memasuki Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac selain pasport Israel.

Tiada jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwaraya (TPR) memandangkan kes berkenaan merupakan tidak boleh dijamin di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) sementara barisan peguambela tidak menyatakan bantahan terhadap cadangan itu.

Tasnim selepas mendengar hujah kedua-dua pihak memutuskan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan menetapkan 21 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain hadir di mahkamah. – MalaysiaGazette