Polis membawa seorang lelaki warga Israel, Shalom Avitan berusia 38 tahun untuk didakwa atas pertuduhan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 12 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Warga  Israel, Shalom Avitan yang ditahan polis kerana memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru dibawa ke mahkamah di Jalan Duta pagi ini.

Lelaki berusia 38 tahun itu yang ditahan pihak berkuasa di sebuah hotel di Jalam Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu itu berpakaian kemeja hitam dengan tangan bergari dikawal ketat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Lori black maria yang membawa suspek tiba di mahkamah pada jam 8 pagi.

Turut kelihatan di lobi mahkamah, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Suspek dijangka didakwa atas dua pertuduhan iaitu Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dan Akta Imigresen.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Senjata Api Avitan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan warga Israel itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu lebih 20 pengamal media berkumpul seawal 7.30 pagi untuk membuat liputan kes tersebut. – MalaysiaGazette