Datuk Nik Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Pas sebulat suara menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk memutuskan siapakah calon paling sesuai akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bulan depan.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, gabungan itu yakin PN boleh menang besar di kerusi yang juga merupakan kubu kuat DAP selama beberapa penggal sebelum ini.

Menurutnya, rakyat kini sangat terbeban dengan pelbagai isu yang tidak dapat sebarang penyelesaian sehingga menyebabkan rata-rata mereka tidak berpuas hati.

“Rakyat tidak puas dengan pelbagai perkara termasuk masalah kemelesetan ekonomi dan kenaikan harga barang. Kita (PN) boleh yakinkan rakyat kemampuan kita dan menang besar, bergaya.

“Sejak Pilihan Raya Umum ke-15, sokongan terhadap kekal dan semakin baik dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Amar juga memberikan bayangan kemungkinan besar calon yang bakal bertanding di PRK Kuala Kubu Bharu itu datangnya daripada parti Gerakan.

Jelasnya, itu kerana untuk kerusi tersebut telah dipersetujui pada PRU-15 lagi.

“Tapi setakat ini belum ada keputusan. Tidak kira siapa yang bertanding sama ada Gerakan, Pas atau Bersatu pastinya kita ada peluang rampas kerusi ini,” ujarnya.

Kerusi KKB kosong selepas kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada PRN lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi. -MalaysiaGazette