Kingu Ginseng Candy yang disyaki mengandungi tadalafil. Ihsan Foto: SFA

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil maklum laporan Agensi Makanan Singapura (SFA) terhadap ‘Kingu Ginseng Candy’ yang dikesan mengandungi tadalafil.

Tadalafil merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil, atau mati pucuk.

Menurut kenyataan KKM, kementerian itu telah menjalankan siasatan dan saringan awal melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

“Hasil siasatan mendapati gula-gula ini dijual secara dalam talian di platform Lazada dan tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang.

“Sehubungan itu, kami telah mengarahkan Lazada untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk secara serta-merta.

“KKM menegaskan bahawa status keselamatan segala produk yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti tadalafil di pasaran akan dipantau dari semasa ke semasa dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan pakar boleh membawa kepada masalah kesihatan serius seperti masalah penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya serta kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, di mana mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan mengenai sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat atau jabatan kesihatan terdekatan atau layari laman sesawang PKKM,” ujarnya. – MalaysiaGazette