SEREMBAN – Kit ujian Covid-19 yang mendapat permintaan mendadak susulan lonjakan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini menyebabkan stoknya tersebut semakin berkurangan di pasaran termasuk di beberapa farmasi.
Tinjauan Malaysia Gazette di sekitar bandar raya Seremban, di sini hari ini, mendapati, ada farmasi yang kehabisan stok dan masih menunggu bekalan baharu untuk tiba.
Menurut Mohd Ridzuan, 41, yang bekerja di sebuah farmasi di Seremban berkata, permintaan bagi kit ujian Covid-19 itu meningkat secara mendadak sejak minggu lalu.
“Sejak penularan Covid-19 reda, kami tidak membeli kit ujian dalam kuantiti yang besar. Namun, bekalan kit ujian kami adalah konsisten, tidak pernah stok kami habis terjual.
“Peningkatan kes baru-baru ini menyebabkan kit ujian Covid-19 dijual dengan pantas dan tidak pasti bila stok baharu akan tiba.
“Kini, kami telah kehabisan bekalan kit ujian sejak beberapa hari lalu dan masih menanti bekalan baharu dengan tempahan yang besar untuk mengatasi situasi ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Seorang ahli farmasi, Siow Elene, 30, mengakui pembeli menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kit ujian Covid-19 di farmasi disebabkan kehabisan bekalan.
“Sejak kebelakangan ini pertambahan kes positif menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat dan ia menyebabkan permintaan terhadap kit ujian bertambah.
“Farmasi kami menjual sekurang-kurangnya 50 hingga 100 kotak kit ujian setiap hari.
“Untuk masa ini, kami tidak mempunyai bekalan kit ujian di cawangan ini dan kami sedang menunggu stok baharu,” ujarnya sambil menambah walaupun permintaan naik tetapi harga masih sama.
Anggaran harga kit ujian adalah antara kira-kira RM 2 hingga RM 7,” katanya.
Ahli farmasi lain, Sharon Sivalingam, 26, turut menghadapi masalah kekurangan bekalan kit ujian kendiri Covid-19.
Dia turut berpendapat, pengeluar tidak mengeluarkan stok baharu disebabkan kerana mahu menghabiskan stok lama terlebih dahulu.
“Ini menyebabkan kesukaran bagi pihak farmasi untuk mendapatkan bekalan dengan cepat,” ujarnya.
Namun, tinjauan Malaysia Gazette juga di farmasi lain mendapati ada premis tertentu yang mempunyai bekalan kit ujian yang mencukupi.
Seorang kakitangan farmasi, S.Keerthenah, 30, berkata, premisnya tidak ada masalah bekalan kit ujian Covid-19.
“Kami sentiasa mengikut perkembangan kes Covid-19 dan hal ini membantu kami untuk mengisi semula bekalan dari semasa ke semasa.
“Walaupun berlaku pertambahan kes positif Covid-19 namun keberadaan kit ujian di pasaran tidak terjejas di mana kami tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk mendapatkan stok daripada pengeluar.
“Setiap hari pelanggan membeli kit tersebut dan hampir 20 hingga 30 kotak kit ujian Covid-19 dijual di kedai kami,” katanya. – MalaysiaGazette