Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM0 kerana berjaya memberkas suspek Hafizul Harawi.

“Tahniah pasukan PDRM Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) atas kecekapan memberkas segera suspek tembakan KLIA tempoh hari,” tulis Saifuddin Nasution di Facebook beliau, hari ini.

Penangkapan Hafizul disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Suspek baru ditangkap di Kota Bharu, Kelantan pada jam 3 petang tadi,” katanya.

Malah satu sidang media akan diadakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain atau Ketua Polis Negeri dalam masa terdekat.

Ahad lalu, suspek Hafizul Harawi, 38, melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Bagaimanapun, satu tembakan jarak dekat itu telah tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan beliau dilaporkan parah.

Susulan itu, suspek terus melarikan diri menaiki kereta jenis Honda City.

Siasatan polis mendapati kejadian bermotifkan perihal peribadi membabitkan suspek dan isterinya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – MalaysiaGazette