Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan Foto WAN NABIL NASIR, 15 APRIL 2024.

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa mengutamakan keselamatan orang awam termasuk kanak-kanak di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) sebagai mengelak situasi lebih buruk semasa insiden tembakan oleh suspek lelaki tempatan berlaku pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menerima banyak pertanyaan kenapa pihak berkuasa itu tidak bertindak segera ke atas suspek untuk menangkapkan semasa kejadian.

“Bayangkan jika kita (polis) bertindak terhadap suspek semasa insiden menembak, ia mungkin akan memburukkkan lagi keadaan sebab dia bersenjata pistol.

“Insiden berlaku di tempat awam yang mana ramai orang awam termasuk kanak-kanak ada di kawasan Balai Ketibaan di KLIA1…saat itu keutamaan kami adalah menyelamatkan nyawa awam dan memastikan keadaan terkawal semula,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA.

Tambah beliau, respons pasukan keselamatan termasuk polis di lokasi kejadian sangat cemerlang sehingga dapat mengembalikan keadaan normal dalam kadar segera.

“Respons oleh pihak pengurusan lapangan terbang begitu baik apabila mereka berjaya mengawal keadaan serta-merta sejurus berlaku insiden tembakan itu, selain mengelak keadaan bertambah lebih teruk.

“Suspek kejadian berjaya dipisahkan dan keselamatan dalam lapangan terbang berjaya dikawal semula pada keadaan normal,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada 1.20 pagi Ahad, seorang lelaki tempatan Hafizul Harawi, 38 tahun membaling mercun mencederakan dua awam sebelum menghampiri isterinya yang dikawal dua pengawal peribadi dan melepaskan dua das tembakan ke arahnya pada jarak 3-4 meter di Balai Ketibaan.

Tindakan itu menyebabkan, salah seorang pengawal peribadi isterinya terkena peluru di perut dan melarikan diri ke arah tempat letak kereta tingkat 2 di Blok C, KLIA1 serta meloloskan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semasa kejadian mangsa iaitu isteri suspek seorang pemilik agensi pelancongan sedang menunggu untuk menyambut kumpulan Jemaah Umrah yang baru sahaja mendarat.-MalaysiaGazette