Gerai nasi tomato popular di Batu Lanchang musnah dalam kebakaran hari ini.

GEORGE TOWN – Peniaga nasi tomato popular di Flat Taman Seri Damai di Batu Lanchang, di sini, mengalami kerugian RM300,000 selepas gerainya musnah dalam kebakaran hari ini.

Mohamad Tajularus Abdul Wahab, 41, berkata, dia dihubungi pekerjanya jam 10 pagi memaklumkan kejadian sebelum bergegas ke lokasi.

“Ketika kejadian hanya dua pekerja saya berada di gerai dan mereka sedang memunggah barang jualan memandangkan waktu perniagaan kami hanya pada malam hari.

“Mereka (pekerja) dikejutkan dengan kebakaran dan api dikatakan merebak cepat sehingga ke gerai sebelah.

“Kemungkinan kejadian ini berlaku akibat litar pintas dan kerugian dianggarkan sebanyak sehingga RM300,000 berikutan terdapat banyak perkakas dan peralatan yang baharu sahaja dibeli,” katanya hari ini.

Pemilik dakwa kerugian cecah RM300,000.

Tambah Tajularus, dia mengusahakan perniagaan nasi tomato itu sejak 35 tahun lalu dan menerima 500 pelanggan untuk semalam.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.37 pagi sebelum 14 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan dua unit gerai dalam kawasan flat berkenaan dan kemusnahan sehingga 70 peratus.

“Selain gerai, tiga motosikal yang diparkir berhampiran turut terjejas

“Penugasan pemadaman api dan ‘size up’ mengambil masa kira-kira 20 minit bagi memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya. – MalaysiaGazette