SUBANG – Suspek kes tembak sehingga mencederakan seorang pengawal peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad lalu telah dibawa dari Kelantan ke Selangor hari ini.
Suspek Hafizul Harawi, 38, ditahan di Kota Bharu sekitar 3 petang semalam dibawa dengan menggunakan pesawat jenis King Air B300 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pesawat yang membawa suspek yang berpakaian lokap warga ungu dan berpelitup muka mendarat di Pengkalan Udara Pasukan Gerakan Udara PDRM di Subang sekitar 2.05 petang.
Kemudian suspek dengan dikawal ketat oleh hampir 10 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) berpakaian taktikal dan bersenjata telah dibawa keluar dari Balai Ketibaan dan Pelepasan Pengkalan PGU Subang dan dimasukkan ke dalam kereta yang pukul 2.20 petang.
Kereta yang diiringi sekitar empat kenderaan polis pengiring mengikuti kenderaan yang membawa suspek menuju ke Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di Shah Alam untuk tindakan siasatan lanjut.
Ketika dibawa keluar, suspek yang berjalan dalam keadaan menunduk serta tangan bergari di belakang mukanya kelihatan berpeluh.
Turut mengiringi suspek dari Kota Bharu Kelantan dalam pesawat itu adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, Timbalan Pengarah Risikan Operasi JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dan Ketua JSJ Kontinjen Selangor, Datuk Baharudin Mat Taib.
Mohd Shuhaily kemudian beredar segera dari pangkalan menaiki Kereta Proton X70 disusuli timbalannya serta Baharudin.
Pesawat itu dipercayai boleh menampung 10 penumpang termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
Pada pagi tadi, suspek telah direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu sebelum diterbangkan ke Lembah Klang untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian 1.20 pagi Ahad lalu, suspek membaling mercun mencederakan awam dan menghampiri isterinya sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya sebelum terkena salah seorang pengawal peribadi yang melindungi mangsa di Balai Ketibaan Terminal 1, KLIA Sepang.
Kemudian suspek telah melarikan diri menggunakan keretanya yang diletakkan di Tingkat 2, Blok C Terminal 1 itu sebelum polis telah menahannya di Kota Bharu. – MalaysiaGazette