Peniaga Hasbullah Mohammad, 41, yang memuatkan komunikasi jelik ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Facebook baru-baru ini, diarahkan oleh Mahkamah Sesyen Kangar menjalani pemantauan kesihatan mental selama sebulan bagi mendapatkan laporan kesihatannya di Hospital Psikiatri.

KANGAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang lelaki yang memuat naik komunikasi jelik terhadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di laman Facebook miliknya baru-baru ini, dihantar ke Hospital Psikiatri untuk menjalani pemantauan selama sebulan bagi mendapatkan laporan kesihatan.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Musyiri Peet ke atas tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, berikutan keadaan mentalnya dikatakan tidak stabil.

Menurut peguam Shazwan Shaidan yang mewakili tertuduh, lelaki yang masih bujang itu merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental dan masih dalam rawatan susulan di Hospital Tuanku Fauziah di sini, selain turut dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Terdahulu, Hasbullah yang berkopiah dan kelihatan tenang mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, pada 3.26 pagi 6 Mac lepas tertuduh yang menggunakan nama profil Muhammad Muhammad (Ku Tehh Ku Muhammad) di laman Facebooknya, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain, yang telah dibaca pada 7 pagi hari yang sama di sebuah rumah di Taman Fauziah di sini.

Dia didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis Muhamad Asyraf Md Kamal dan hakim menetapkan 15 Mei ini bagi serahan laporan psikiatri tertuduh. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast