KUALA LUMPUR – Polis sedang melakukan siasatan berhubung insiden anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, semasa kejadian kakak mangsa yang berusia 16 tahun menemukan adiknya itu (berusia 14 tahun) terbaring di dalam bilik sejurus selepas pulang ke rumah dari sekolah.
“Bapa mangsa pula berada di Kinabatangan semasa kejadian berlaku atas urusan pemindahan rumah kerana baru berpindah setelah dinaikkan pangkat ACP dan dilantik sebagai Ketua Polis baharu IPD Lahad Datu 1 April lalu,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurut Razarudin, mayat mangsa dihantar ke hospital dan proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 9 pagi esok.
“Polis sedang sedang mengumpul semua saksi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
“Dalam perkara ini, saya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini, misalnya mangsa tertembak diri sendiri atau sebagainya sehingga siasatan lengkap selesai dijalankan nanti.
“Biarlah polis menjalankan siasatan terperinci dalam kejadian ini,” katanya. – MalaysiaGazette