Gara-gara menerima bantahan ramai ekoran tular poster di media sosial - Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh yang dijadualkan pada 21 April ini telah dibatalkan.

TEMERLOH – Gara-gara menerima bantahan ramai ekoran tular poster di media sosial – Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh yang dijadualkan pada 21 April ini telah dibatalkan.

Penganjurnya yang dikenali Uncle John ketika dihubungi mengesahkan penganjuran berkenaan dibatalkan sejurus mendapat bantahan beberapa pihak termasuk pemimpin poilitik.

Difahamkan penganjuran acara itu pada mulanya sekadar suka-suka sahaja bagi memeriahkan majlis Hari Raya Aidilfitri namun poster tersebut telah diedarkan secara meluas oleh sesetengah pihak.

“Ada wakil Yang Berhormat Ahli Parlimen Temerloh dan Lipis hubungi membantah pertandingan itu dan benda ini melibatkan pejabat agama nanti, jadi sudah dibatalkan.

“Tolong maklumkan pada semua pertandingan itu dibatalkan tapi majlis rumah terbuka diteruskan. Saya pun tidak mahu dikenakan perintah undang-undang,” katanya kepada MalaysiaGazette

Bagaimanapun Uncle John mengakui pihaknya sudah menerima penyertaan daripada kalangan janda.

“Kalau tidak ini dah terima penyertaan sebab saya tidak mengambil sebarang bayaran, sebab terbuka,” katanya.

Menerusi poster yang mula tular di media sosial hari ini memaparkan acara tersebut akan diadakan pada Ahad depan pukul 9 malam bertempat di Taman Tasik Chatin Mentakab dekat Temerloh.

Penyertaan pertandingan itu dibuka kepada wanita berusia 20 tahun ke atas secara percuma dan walk-in.

Jamuan raya turut disediakan manakala keputusan oleh juri adalah muktamad dan hadiah ditaja oleh Mama Zana dan Uncle John.

Sementara itu, Exco Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkara tersebut di luar pengetahuannya.

Tegasnya, program berkenaan adalah tidak wajar sama sekali dilaksanakan di negeri itu.

“Bantah (pertandingan beragam). Bukan di kawasan saya (Kerdau). Tidak pernah ada kelulusan sedemikian, sebab tu penganjur tak tanya saya memang tidak akan setuju. Benda ni memang tak wajar,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast