Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan petang tadi.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang diadakan petang tadi tidak membincangkan mengenai isu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Sebaliknya, Ketua Sekretariatnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat berkenaan memandang serius tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan yang mampu mengancam keharmonian negara dan kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan sepakat agar kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini.

“Semua parti Kerajaan Perpaduan Malaysia bersepakat akan terus mempertahankan orientasi dan pendekatan ‘Politik Kesederhanaan’ sebagai asas kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum.

“Dengan pendekatan kesederhanaan bagi menjamin kestabilan, Kerajaan Perpaduan akan dapat memberikan tumpuan terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat terutamanya bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai jam 6.50 petang tadi dengan dihadiri pelbagai kepimpinan parti dalam gabungan kerajaan perpaduan.

Antaranya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,  Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah); Datuk Seri Mohamad Sabu.

Asyraf berkata, mesyuarat juga turut membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.06 Kuala Kubu Bharu.

Ia bersetuju untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi bagi menamakan calon yang akan mewakili parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Untuk itu, penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera Pilihan Raya Kecil, parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia akan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Steven Sim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 11 Mei ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Selangor sementara 27 April depan tarikh penamaan calon.

SPR turut menetapkan tempoh 14 untuk kempen PKR pertama bagi tahun ini.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu bakal diadakan berikutan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Pada 26 Mac lalu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Undangab Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu dalam Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Pada PRN Selangor Ogos tahun lalu, mendiang Kee Hiong yang bertanding atas tiket PH-DAP memenangi kerusi itu dengan memperoleh 14,862 undi, menewaskan Pengerusi Gerakan Selangor, Teoh Kien Hong daripada PN-Gerakan.

Mendiang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu sejak 2013. – MalaysiaGazette