TELUK INTAN – Seorang pekerja kilang belacan dihadapkan di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, atas pertuduhan membunuh kekasih isterinya kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, D Tanabalan, 42, menggangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Majlistret T Ashvinii dan tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa telah membunuh S Sundararaj, 32, di tepi Jalan Dato’ Nazri, Langkap di sini, antara 6.30 petang sehingga 8 malam pada 5 April lalu.
Oleh itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sabitan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan semula kes serta serahan laporan kimia.
Pada 9 April lalu, media melaporkan enam lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah taman perumahan dekat Langkap.
Ia susulan pihak polis menerima panggilan telefon daripada seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan pada 8.15 malam, 5 April lalu memaklumkan seorang pesakit lelaki warga tempatan tidak sedarkan diri disebabkan luka di bahagian dada dan leher akibat terkena senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di hospital itu mendapati seorang lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga menghantar mangsa dan terus menghilangkan diri.
Hasil soal siasat mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang mengganggu isteri kepada seorang daripada suspek. – MalaysiaGazette