KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan meneliti terlebih dahulu syarat-syarat yang terkandung di dalam deraf Memorandum Persefahaman (MoU) yang sedang dimuktamadkan kerajaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan peruntukan tersebut, namun selaku pembangkang langkah tersebut perlu dilakukan.
“PN menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu hari ini, media melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat di Sri Perdana, Putrajaya, petang semalam.
Sehubungan itu katanya, satu deraf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu.
Ujarnya, deraf itu kemudian akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya. -MalaysiaGazette