Pengarah Urusan Jay Ibrahim Al-Islam, Jay Ibrahim menyantuni Aslina Abu yang kehilangan anak ketujuhnya pada malam Aidilfitri lalu akibat nahas jalan raya di Pantai Kundur, Tanjung Keling, Melaka. Foto WAN NABIL NASIR, 18 APRIL 2024.

MELAKA – “Rasa terharu sangat kerana Allah dengar doa saya dan makbulkan hasrat arwah anak yang tak sempat bawa saya menunaikan umrah,”.

Itu luahan hiba Aslina Abu, 48, apabila menerima kejutan menunaikan umrah daripada Jay Ibrahim Al-Islam yang disampaikan sendiri Pengarah Urusannya, Jay Ibrahim di rumahnya di Batu 10, Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini, semalam.

Menurut ibu kepada 11 anak itu, dia tidak menyangka berita kematian dua anak lelakinya pada malam Aidilfitri 2022 dan awal pagi 9 April lalu iaitu sehari menjelang 1 Syawal mendapat perhatian syarikat umrah dan haji itu.

“Terima kasih kepada ustaz (Jay Ibrahim) kerana bantu tunaikan hajat arwah anak yang sebelum ini berniat bawa saya menunaikan umrah.

“Depan Kaabah nanti, saya nak sujud minta maaf dengan Allah kerana mungkin telah melakukan banyak dosa sehinggakan Allah ‘ambil’ anak saya seorang demi seorang sehari sebelum Aidilfitri,” katanya menitiskan air mata.

Aslina Abu kelihatan sedih ketika bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai kemalangan maut yang menimpa anak ketujuhnya pada malam Aidilfitri lalu di Pantai Kundur, Tanjung Keling, Melaka. Foto WAN NABIL NASIR, 18 APRIL 2024.

MalaysiaGazette pada 10 April lalu melaporkan Aslina sukar menerima hakikat kematian dua anak lelakinya berturut-turut pada malam Aidilfitri 2022 dan terbaharu awal pagi 1 Syawal lalu.

Dalam kejadian kira-kira 1.04 pagi itu, Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, maut ditempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta yang memasuki laluannya di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai.

Dua tahun lalu pada 30 April 2022, anak kelima wanita itu, Muhammad Nasululllah, 19, maut pada malam sehari sebelum Aidilfitri selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta yang membuat pusingan U di garisan berkembar di Pantai Puteri.

Muhammad Nasululllah sebelum itu pernah menyatakan hasrat untuk membawa ibunya itu menunaikan umrah selepas mendapat kerja di sebuah syarikat terkemuka.

Sementara itu, Jay berkata, syarikatnya terpanggil untuk menunaikan hasrat Aslina kerana tersentuh dengan ujian Allah terhadapnya disaat umat Islam bergembira meraikan Aidilfitri.

“Di Jay Ibrahim, kami akan mempunyai program Memburu Tetamu Allah khusus untuk ‘merawat jiwa’ mereka di hadapan Kaabah yang diberikan secara percuma kepada insan terpilih ini.

“Sebab itu, kita bawa mereka ke tempat yang paling dimuliakan ini dan saya melihat usaha ini sebagai fardhu kifayah selepas Allah memberikan saya pelbagai kemudahan untuk membantu mereka,” katanya sebak.

Menurutnya, sejak Ogos lalu syarikatnya sudah membantu lebih 200 individu terdiri daripada asnaf, pelajar tahfiz, anak yatim dan yang mereka yang terkandas untuk menunaikan umrah. – MalaysiaGazette