Penerbit filem 'Mentega Terbang', Tan Meng Khen (kanan) dan juga pengarahnya, Mohd Khairianwar Jailani hadir ke mahkamah untuk didakwa berikutan dakwaan menghina agama Islam ketika di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan menggugurkan perintah larangan terhadap filem berkontroversi, Mentega Terbang.

Tiga panel hakim sebulat suara menolak rayuan pemohon, pengarah filem itu, Mohd Khairianwar Jailani yang mahu membatalkan perintah larangan tersebut selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati filem berkenaan menyakiti perasan agama pihak lain.

Hari ini, panel hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan pemohon tidak mempunyai merit dalam permohonan tersebut dan mahkamah terdahulu tidak terkhilaf dalam membuat keputusan.

Kata beliau, mahkamah telah menggunakan budi bicaranya dalam mengenakan perintah larangan sebagai syarat ikat jamin.

Pada 17 Januari lalu, Mohd. Khairianwar dan penerbit filem tersebut, Tan Meng Kheng, 37, didakwa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya selaku pengarah, penulis skrip serta penerbit filem Mentega Terbang didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Semarak Api 2 di sini pukul 12.34 tengahari pada 26 Februari 2023.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette