Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa Majlis Peguam Malaysia mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas peguam yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga mencemarkan imej profesion itu.

Pengarah Jabatan Sisatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, gesaan itu dilakukan selepas pihaknya menahan dan mendakwa seorang peguam atas kesalahan menipu dalam urusan jual beli tanah.

Katanya, siasatan polis mendapati peguam berusia 61 tahun itu dilantik oleh pemilik hartanah untuk menguruskan penjualan lot tanah di miri, Sarawak kepada sepasang suami isteri.

“Bagaimanapun, suspek tanpa pengetahuan pemilik tanah itu telah didakwa turut menjual lot tanah sama kepada sebuah syarikat.

“Tindakan suspek telah mengakibatkan kedua-dua pembeli menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.1 juta atau lebih tepat RM1,152,688,’ katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, suspek didakwa di Mahkamah Majistret Miri pada 2 April lalu atas tujuh pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah secara bertindih melibatkan kerugian RM1.1 juta.

Berikutan itu katanya, polis menggesa Majlis Peguam untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap peguam yang didapati melanggar etika profesion guaman dengan terlibat dalam jenayah sebegini.

Tambah beliau, peguam seharusnya sentiasa bertindak jujur dan berintegriti dalam apa jua tindakan yang dilakukan. – MalaysiaGazette