TEMERLOH – Sebelum hangus terbakar, penduduk di sekitar Payat Rumput, dekat sini, sempat mengutip beras dan barangan makanan asas lain di lokasi beras dibakar di Kuala Krau, Temerloh pada semalam.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati tapak pelupusan sampah haram itu masih terdapat saki baki bihun yang tamat tempohnya sehingga 31 Disember 2025 terselit di celahan sampah-sarap.
Beberapa penduduk kampung yang mengunjungi tapak pelupusan sampah itu dilihat mencari-cari baki makanan yang boleh diselamatkan.
Penternak, Mohd Nor Hakim Abu Bakar, sempat mengambil berpaket beras pada petang semalam dan berharap ada lagi rezeki pada hari ini, namun rezeki tidak berpihak kepadanya.
Bagi Mohd Nor Hakim, pihak berkenaan perlu menguruskan pelupasan beras tamat tempoh dan barangan keperluan dengan cara yang betul dan bukan dengan membakar di tapak peupusan sampah.
”Macam saya penternak ayam kampung dan ayam daging rasa bila dia buang beras begini seolah beras ini tak penting. Kita patut cari jalan penyelesaian terbaik bukan buang dan bakar macam ni.
”Saya sempat ambil beras empat paket selepas tahu dari Facebook semalam, jadi hari ini ingat nak ambil lagi tapi dah hangus.” katanya.
Menurut Mor Hakim, biarpun beras berkenaan dikatakan sudah tamat tempoh namun baginya ia masih digunakan untuk haiwan peliharaannya.
Beliau mengakui selain beras, ada lambakkan tepung, sardin, beras, susu yang dibakar di situ.
”Walaupun beras ni tak elok untuk makan tapi untuk haiwan boleh. Datang ambil dengan sepupu semalam, ini pengalaman pertama selepas tinggal (di sini) tujuh lapan tahun di sini,” katanya.
Sementara Nasarudin Ramli menzahirkan kekesalan tindakan pihak tertentu yang tidak mengagihkan barang tersebut kepada golongan yang memerlukan sehingga tamat tempoh dan membuang beras merupakan pembaziran.
Beliau berkata, membuang kira-kira 500 paket makanan ruji rakyat Malaysia itu sebagai tidak mengsyukuri nikmat pemberian rezeki oleh Allah berbanding rakyat di negara lain yang sedang diancam kebuluran.
”Setahu saya tempat yang dibuang ini tidak digazetkan buang sampah, memang tak wajar buang beras dalam keadaan begini.
”Beras memang dah berulat tapi barang lain seperti bihun, sardin, tepung masih elok. Malahan ada orang lain bawa balik untuk dimakan,” katanya.
Semalam, MalaysiaGazette yang melaporkan perbuatan membakar beras di sebuah tapak pelupusan sampah mendapat reaksi bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said hari ini yang mengaku ia adalah miliknya.
Beliau meminta maaf dan menyatakan rasa kesal atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan. – MalaysiaGazette