Foto: PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta daripada belakang di KM0.5 Lebuhraya Link Kedua arah selatan, Iskandar Puteri, Johor dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan.

Pemamngku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt. Ibrahim Mat Som berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa sebuah kereta Honda Civic bergerak perlahan di lorong kanan dan berhenti kerana kesesakan jalan raya.

“Tiba-tiba dari arah belakang lorong yang sama, telah datang sebuah motosikal jenis vespa Piaggio telah merempuh motokar tersebut,” katanya dalam kenyataan sambil menambah pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada jam 8.50 pagi.

Menurut Ibrahim, selang beberapa minit, sebuah motosikal jenis Kawasaki Ninja EX650 yang datang dari arah sama merempuh bahagian belakang kereta tersebut menyebabkan penunggangnya tercampak ke jalan raya dan maut di lokasi kemalangan.

Tambah beliau, penunggang motosikal yang maut itu berusia 28 tahun manakala penunggang skuter berusia 29 tahun mengalami luka pada bahagian kaki dan pemandu kereta berumur 31 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ibrahim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Muhammad Hafizzuddin Hamdan atau menghubungi Pejabat Pertanyaan BSPTD Iskandar Puteri di talian 07-5101322. – MalaysiaGazette