KUALA LUMPUR – Afidavit yang dikemukakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan Presiden UMNO itu mengutamakan amanah parti agar Datuk Seri Najib Razak mendapat pembelaan yang adil.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, afidavit tambahan menyokong petisyen Najib berhubung kewujudan Titah Adendum mengenai tahanan rumah membuktikan Ahmad Zahid bersikap telus.
Tambah beliau, sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri bukan mudah untuk Ahmad Zahid berbuat demikian kerana ia turut melibatkan kedudukan kerajaan.
“Afidavit Zahid jadi bukti dia adalah teman sejati. Bukan mudah seorang berjawatan TPM sanggup buat afidavit yang ada implikasi kepada kerajaan yang dia sendiri dokong.
“Banyak implikasinya. Tetapi Zahid membuktikan dia mengutamakan ketelusan dan amanah parti yang memutuskan UMNO membela Najib agar mendapat perbicaran adil,” katanya di media sosial.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu, afidavit Ahmad Zahid membuktikan Titah Adendum mengenai tahanan rumah bagi Najib menghabiskan baki hukuman penjara adalah benar.
Serentak itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 tersebut.
“Affidavit Zahid adalah titik tolak, titah adendum wujud dan benar. PMX mesti membetulkannya agar kerajaan tidak dituduh ingkar dan sembunyi kebenaran,” tegasnya.
Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah Adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.
Beliau mendakwa telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 30 Januari lalu.-MalaysiaGazette