Gambar hiasan.

LIPIS – Seorang lelaki dalam perjalanan menuju ke rumah tunang maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah lori sawit di Kilometer 9, Jalan Benta-Jerantut hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Ismail Man berkata, Ahmad Solihin Fazuni, 21, meninggal di tempat kejadian.

Mangsa sebelum itu menunggang motosikal dari Kota Bharu, Kelantan untuk menuju ke rumah tunangnya di Kampung Batu Balai, Jerantut.

“Apabila sampai di tempat kejadian semasa melalui jalan berselekoh, motosikal tersebut telah bertembung dengan lori dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ismail, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette