Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2024.

SHAH ALAM – Rafizi Ramli menjelaskan beliau masa ini ‘tidak garang’ seperti dulu kerana mempunyai tanggungjawab lebih yang perlu dipikul.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, beban lebih itu tidak dipikulnya ketika menjadi pembangkang dahulu.

“Saya yang garang bila jadi kerajaan pun orang kata tak garang.

“Bukan tak garang pun… sebenarnya ada tanggungjawab lebih iaitu masa pembangkang dulu tak pikul beban itu,” katanya pada sesi dialog bersama ahli PKR sempena Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang ahli PKR mengenai serangan dan hinaan yang dilakukan pihak-pihak tertentu terhadap terhadap Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementera itu, Rafizi berkata, keberkesanan sesebuah parti bukan diukur dengan ‘siapa mereka menjerit lebih kuat’.

Katanya, selepas PKR menjadi kerajaan, terdapat pertimbangan lain perlu diambil dalam menjamin keutuhan dalam pentadbiran.

Beliau turut mengakui pimpinan PKR terkesan dengan serangan dan hinaan yang dituju kepada Anwar.

Bagaimanapun, beliau percaya pimpinan PKR masing-masing mengambil peranan untuk mempertahankan Anwar.

“Tumpuan dan tugas kita paling besar adalah untuk tadbir dan bina semula negara ini. Ada perkara yang kita perlu tarik rambut daripada tepung.

“Ada juga perkara yang kita perlu tangani supaya ia tidak pergi luar kawalan. Yang penting kekuatan organisasi parti terutama mengenai komunikasi itu perlu kita bina,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berterima kasih kepada ahli PKR yang membuat laporan polis berhubung fitnah yang dibuat terhadap kepimpinan parti itu.

Beliau turut mengingatkan ahli parti agar tidak terburu-buru mengikut perasaan dalam membalas fitnah yang dilakukan terhadap kepimpinan mereka. – MalaysiaGazette