KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang bekas pegawai polis membayar RM820,000 kepada dua wanita warga Mongolia yang dipaksanya melakukan hubungan seks tanpa rela empat tahun lepas.
Defendan, Hazrul Hizham Ghazali yang berjawat inspektor ketika itu telah memaksa dua wanita itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pesuruhjaya Tinggi, Dr Mohd Johan Lee @ John Lee Kien How selepas mendapati saman kedua-dua wanita berjaya membuktikan kes mereka atas imbangan kebarangkalian terhadap defendan.
“Semua keterangan saksi dan hujahan tidak dicabar atau disangkal defenden. Peguam defendan juga menarik diri dan tidak hadir perbicaraan.
“Kes terhadap wanita yang pertama, plaintif berjaya membuktikan bahawa defendan melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya sebanyak enam kali. Defendan juga bertanggungjawab dengan salah laku sekskual dan mendatangan kecederaan selain pengurungan cara salah.
“Mahkamah dengan ini memberikan ganti rugi sebanyak RM460,000 kepada plaintif merangkumi ganti rugi am, mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan,” katanya petang tadi.
Sambung beliau, bagi seorang lagi plaintif, defenden telah melakukan persetubuhan tanpa kerelaan sebanyak dua kali dan mengurung secara salah.
“Dengan ini mahkamah perintah defendan membayar ganti rugi berjumlah RM360,000 merangkumi ganti rugi am termasuk mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan,” ujarnya.
Sebelum ini tertuduh telah didakwa atas 11 pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks, merogol dan mencabul mangsa sama.
Untuk makluman, pada 10 April 2020, kedua-dua plaintif ditahan pada satu sekatan jalan raya di Petaling Jaya sebelum dibawa ke khemah polis.
Selepas itu kedua-dua mereka dibawa ke sebuah hotel berdekatan sebelum meletakan kedua-dua mereka di dua bilik berlainan sebelum memaksa hubungan seks ke atas mereka di antara 10 dan 11 April 2020. – MalaysiaGazette