Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MALAYSIAGAZETTE, 08 SEPTEMBER 2026.

KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan geran khas interim bagi Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini berkuat kuasa tahun ini.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan terus berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak ke arah memuktamadkan satu formula yang mampan dalam menentukan kadar Pemberian Khas tahunan tersebut.

“Sebelum ini saya sudah umum untuk Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.

“Atas semangat setiakawan, persahabatan dan semangat Malaysia, malam ini saya umum untuk Sarawak RM1.5 bilion juga, itu adalah hasil persahabatan dan rundingan yang baik,” kata beliau semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Foto: FB Anwar Ibrahim

Tetamu kehormat pada sambutan itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengenai sebarang isu berbangkit dalam kesatuan Malaysia, Anwar berkata tiada masalah yang tidak boleh direlai dan diselesaikan.

“Saya bersyukur kerana melalui semangat (kesatuan Malaysia) ini kita telah dapat melaksanakan pelbagai projek dan program (untuk kepentingan rakyat),” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata beliau mahu syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) bekerjasama sebagai satu pasukan dalam membangunkan negara.

Perdana Menteri berkata bagi mencapai kesepakatan, kedua-dua pihak perlu menghormati dan mengiktiraf hak serta undang-undang sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Kita mengambil keputusan supaya perjanjian komersial antara PETRONAS dan PETROS disegera dan dimuktamadkan. Tidak ada sebab mengapa hal ini tidak diselesaikan,” kata Anwar. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here