Pelakon, Ayu Raudhah bersama suaminya Zaquan Adha pada Majlis Grand Iftar Meraikan Asnaf anjuran GNI dengan kerjasama PPZ MAWIP di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 18 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Ayu Raudhah berpendapat rezeki seseorang itu ada di mana-mana dan dia tidak bimbang mengenai masa depan enam orang anaknya meskipun Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) telah menamatkan kontrak suaminya, Zaquan Adha Razak.

Katanya, ini kerana ia tidak bermaksud suaminya itu langsung tidak menerima sebarang tawaran lain walaupun Zaquan turut mengumumkan persaraan dalam dunia bola sepak.

“Saya tidak rasa panik apabila Zaquan hilang kerja. Saya orang yang percaya pada rezeki dan takdir Allah. Satu pintu ditutup, banyak pintu lain dibuka.

“Lagi pun, kami sudah hidup berumah tangga 13 tahun. Memang dia pemain bola sepak tapi rezekinya bukan dari bola sepak sahaja.

“Mungkin akan ada rezeki di tempat lain. Gaji besar sebagai pemain bola hanyalah suatu amaun, rezeki tetap rezeki kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Adik kepada pelakon Rozita Che Wan itu bersyukur kerana perniagaan Sambal Geprek AR dengan tanda pagar #anakramai secara kecil-kecilan diuruskan bersama suaminya mendapat sambutan ramai.

Kata wanita berusia 39 tahun itu, walaupun belum memiliki kedai fizikal, perusahaan itu laris dijual melalui platform TikTok.

“Perniagaan awal bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan apabila saya mula jual nasi ayam geprek dan ketika itu Zaquan bermain dengan pasukan Kedah.

“Apabila berpindah ke Negeri Sembilan, ramai pelanggan tetap bertanyakan nasi ayam geprek itu tapi sebab tinggal jauh akhirnya dapat idea buat sambal untuk jual satu Malaysia.

“Kami baru dua bulan jual sambal tapi jualan di TikTok sudah capai 4,000 botol manakala di luar cecah lebih 6,000 botol,” katanya. – MalaysiaGazette