PUTRAJAYA – Indeks kesihatan mental belia Malaysia yang berumur antara 15
hingga 30 tahun berada pada tahap sederhana memuaskan.
Kajian Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) melibatkan 5,867 responden menunjukkan kesihatan mental belia berada pada skor 71.91 dalam pengurusan tekanan.
Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh gembira dengan dapatan tersebut dan berharap ia boleh menjadi garis panduan untuk membantu golangan belia berhadapan dengan kesihatan mental.
Masyarakat bumiputera Sarawak mendapat skor tertinggi iaitu 73.37 dan orang asli adalah terendah iaitu 62.48.
Etnik Cina mendapat skor kedua tertinggi (72.91), Melayu (71.84), bumiputera Sabah (71.4), India (70.05) dan lain-lain (70.99).
“Skor berdasarkan etnik adalah menarik. Orang asli mendapat paling rendah. Pada Sabtu lalu saya berada di Kuala Kubu Baru dan ada aktiviti permainan bola sepak dan mereka hanya berkaki ayam.
“Ini memberi petunjuk mengenai kebolehcapaian terhadap fasiliti dan infrastuktur. Kalau nak pertingkatkan skor untuk orang asli kita perlu libatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli.
“Tidak perlukan ‘rocket science’ mengapa Bumiputera Sarawak paling tinggi. Di Sarawak bertolak ansur adalah tinggi, mereka meraikan kepelbagaian dan semua orang dan belia di sana gembira kerana kurang berbincang mengenai kaum dan agama,” kata Hannah.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian MyMHI’23 yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Iyres Dr. P. Vellapandian.
Melalui kajian itu, Hannah berkata, pihaknya boleh melaksanakan program yang lebih berkesan untuk belia berkaitan kesihatan mental.
“Kita hanya menerima RM1 bilion, bila kita kira peruntukan untuk pembangunan sebanyak 40 peratus kita tidak boleh melakukan kesilapan dalam melaksanakan polisi dan program.
“Ada keperluan untuk lakukan perubahan pendekatan. Masa telah berubah. Belia kita juga berbeza berbanding dulu. Ada keperluan untuk membuat perubahan pendekatan. Kalau kita tidak berubah kita akan berkhidmat untuk belia pada 1990 bukan hari ini,” katanya.
Kajian MyMHI’23 diterajui oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan United Nations Children’s Fund (UNICEF) dengan sokongan daripada pemegang taruh berkaitan.
IndeksMyMHI’23 merangkumi tujuh domain iaitu gaya hidup, persekitaran, keperibadian individu, pengalaman hidup, sokongan sosial, pengendalian tekanan, dan minda sihat, serta disokong oleh 28 indikator.
Domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi (88.51) iaitu berada pada tahap memuaskan manakala domain persekitaran mencatatkan skor terendah (65.45) iaitu berada pada tahap sederhana memuaskan.
MyMHI’23 turut mencadangkan beberapa langkah bagi meningkatkan kesihatan mental belia termasuk mewujudkan ruang kediaman yang tidak terlalu sesak dan dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi, sekali gus memupuk persekitaran yang bebas daripada tekanan.
Sementara itu Hannah berharap, lebih banyak belia dapat dilibatkan dalam perbincangan yang melibatkan kepentingan mereka sambil menambah Laporan MyMHI’23 akan dibawa ke Kabinet bagi tindakan lanjut.- MalaysiaGazette