Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai hak untuk mempersoalkan kerajaan terhadap isu ‘dekri tambahan’ terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Lantaran itu, Datuk Zaid Ibrahim menempelak kenyataan jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang membuat kenyataan bahawa Muhyiddin tidak layak memberi sebarang kenyataan sebarang isu negara dan politik.

Lebih menyedihkan apabila  Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mendakwa Muhyiddin yang juga Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal membantu pihak berkuasa meminta menantunya, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang menghilangkan diri untuk menghadapi pertuduhan pecah amanah jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas Zaid, salah urus kerajaan dalam isu ini adalah sangat serius sehingga ia merupakan satu cabaran kepada hak prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan.

“Jangan lupa kita bukan hanya bercakap tentang hak prerogatif Sultan Abdullah Pahang (yang mengeluarkan titah) tetapi mengenai kesemua sembilan Raja-raja Melayu yang mempunyai prerogatif itu di negeri masing-masing.

“Sekiranya isu undang-undang perlu diselesaikan, perdana menteri mesti mengambil inisiatif merujuk perkara itu kepada peguam negara untuk penentuan.

“Peguam negara kemudiannya hendaklah memaklumkan kepada orang ramai tentang status dekri tersebut,” kata Zaid dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, jika peguam negara merasakan lebih wajar merujuk Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung dekri tambahan itu, maka itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

Malangnya, menurut Zaid, kerajaan tidak berminat dengan ‘dekri tambahan’ itu sama sekali apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu masuk campur.

Tindakan itu, jelasnya memberi kesan kepada Najib hingga beliau terpaksa mengambil tindakan untuk semakan kehakiman terhadap perkara itu sedangkan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memberikan jawapan

“Apa yang sukar untuk berterus terang tentang perkara yang begitu penting?

“Kerajaan sudah pasti berada dalam kedudukan untuk mengetahui sama ada dekri sedemikian wujud atau tidak, dan jika ia wujud, maklumkan kepada orang ramai tentang kedudukan undang-undang.

“Jika Peguam Negara tidak pasti, rujuk kepada Mahkamah Persekutuan

“Cara sembunyi-sembunyi dalam pengendalian dekri ini menyebabkan akibat yang besar,” ujarnya.

Kata Zaid lagi, setiap Raja di setiap negeri yang memberi pengampunan atau tangguh tidak akan tahu sama ada kerajaan akan bertindak dalam perkara itu, kerana kerajaan negeri mungkin mengabaikannya, atau Menteri Besar mungkin tidak mahu terlibat.

“Pendekatan sorok-sorok ini bukanlah cara menangani hak prerogatif ketua sebuah negara.

“Menghormati Raja-raja semestinya bermakna kerajaan mesti bertindak mengikut dekri mereka dengan segera, dan jika terdapat halangan undang-undang untuk berbuat demikian, beritahu raja dan orang ramai. Berterus terang dan profesional adalah cara yang sepatutnya kerajaan lakukan,” tambah Zaid. – MalaysiaGazette

Titah Adendum Najib kena diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan – PM