Presiden PRK, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2024.

SHAH ALAM – Sebarang keputusan mengenai Titah Adendum (titah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Razak mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi tidak mahu mencampuri urusan itu biar pun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.

“Saya sebutkan, ini menyinggung peranan Lembaga Pengampunan dan wewenang Agong. Itu jawapan bagi saya mengikut perbincangan dengan Peguam Negara dan maklumat dari Sultan dan Agong, itu sebaiknya.

“Kita tak cuba meringankan apa-apa keputusan yang dibuat hakim. Tapi cara kita lakukan itu yang tidak disenangi sesetengah pihak dałam parti sekutu atau sebaliknya dalam kalangan yang lain di luar.

“Itu bukan kita persoalkan. Tapi pendirian kita tuntas bahawa keputusan mesti dibuat dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan keputusan muktamad (oleh) Agong (mesti juga) dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Menurut Anwar lagi, sejak merdeka hingga kini, kerajaan tidak pernah membuat sebarang keputusan yang boleh menyinggung Agong atau Raja-Raja Melayu.

“Jangan kerana mahu teruskan satu agenda yang disenangi oleh kamu sehingga merobohkan kerajaan yang ada. Jadi harus ada kebijaksanaan dalam menangani permasalahan ini.

“Tanya saya, ya.. dalam Kabinet, dalam kerajaan, rakan-rakan Jemaah Menteri pun ramai di sini kita tidak ada masalah itu. Tapi yang di luar, ada suara yang tidak semestinya mewakili suara pimpinan.

“Jadi, saya harus akui walaupun ada hal yang mesti dirundingkan di luar Jemaah Menteri tetapi setakat ini belum ada keretakan kecil sekali pun sama ada Pakatan Harapan (PH), UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta Sabah dan Sarawak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ohh maknanya adalah titah DYMM Agong tu..berbelit2 laaa..sekejap kata tak tau..sekejap kata tak sah

Comments are closed.