Tertuduh berusia 22 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik saudaranya dua minggu lalu.

MELAKA – Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik saudaranya dua minggu lalu.

Tertuduh berusia 22 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berumur 13 tahun 6 bulan di sebuah rumah di Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 pagi 8 April lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada waktu dan lokasi sama yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam Norfazlinda Alimad dalam rayuannya bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai pembantu am berpendapatan RM1,000 sebulan.

Selain itu, anak guamnya yang masih bujang juga tinggal dengan ibu yang bekerja kilang dan perlu menjalani pembedahan fibroid pada 6 Mei ini.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Azaraorni membenar tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin
.
Mahkamah juga menetapkan 10 Jun depan untuk tarikh sebutan semula kes – MalaysiaGazette