PETALING JAYA – Penduduk akan menghantar satu memorandum rayuan meminta kerajaan meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu ini.
Menurut Wakil Penduduk Taman Medan, Mohd Razali Abdullah, mereka meminta Kerajaan mempertimbangkan semula pembatalan projek itu kerana pembinaan PJD Link akan mendatangkan banyak manfaat.
Ia bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi juga pengguna lebuh raya yang lain, katanya.
“Penambahan kenderaan awam yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya (PJ), Lee Chean Chung tidak akan berguna sekiranya masalah kesesakan jalan yang teruk di sini tidak dapat dikurangkan.
“Tidak dapat dinafikan pembangunan di PJ ini semakin meningkat tetapi apa fungsi sekiranya penduduk di sini tiada akses kepada kemudahan infrastruktur yang baik.
“Lebih 60 peratus penduduk menyokong pelaksanaan projek ini kerana mereka tertekan dengan masalah jalan raya yang dihadapi sejak bertahun-tahun lamanya,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Koperasi Melayu Petaling (KOPETA) hari ini.
Selain itu, Pengerusi Pertubuhan Komuniti Petaling Jaya, Mohd Yusri Ramli pula menyatakan projek itu sudah pun dibincangkan sejak lapan tahun lepas dan sudah mendapat persetujuan menteri yang lain.
“Projek ini sudah mendapat kelulusan dari aspek alam sekitar dan infrastruktur, jadi apa lagi yang menghalang kerajaan untuk meneruskan projek ini?” soalnya.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebelum ini telah mengumumkan keputusan pembatalan projek itu selepas pemegang konsesinya didakwa gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.
Menurut Mohd Yusri, ia sebenarnya terpulang kepada kebijaksanaan kerajaan sama ada untuk menukar pemegang konsesi sedia ada atau tidak.
“Perubahan konsesi ini akan memakan masa lebih lama yang boleh menjangkaui tiga hingga empat tahun lagi.
“Kenapa kerajaan mahu membuang masa menubuhkan konsesi baharu sedangkan kita boleh memperbaiki dan menambah baik konsesi yang sedia ada?,” soalnya lagi.
Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan berkenaan yang diharapkan dapat memihak kepada kepentingan penduduk setempat.
Pembatalan projek itu didakwa mengecewakan penduduk setempat kerana seakan-akan kerajaan tidak mengambil berat terhadap keluhan rakyat yang menghadapi masalah kesesakan lalu lintas.
PDJ Link merupakan sebuah lebuh raya sepanjang 34.3 kilometer dengan empat lorong dan lapan persimpangan sebagai alternatif kepada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang menghubungkan pelbagai perbandaran di antara Bandar Utama dan Bukit Jalil. – MalaysiaGazette