Tertuduh, Ilham Shafiq Fithal, 22, mengaku bersalah mencuri wang tunai berjumlah RM8,540.60 milik 7 Eleven di Melaka, 31 Mac lalu.

MELAKA – “Penat isteri awak bersalin di hospital, tapi awak di sini,” demikian teguran dibuat Majistret Melaka di sini hari ini terhadap seorang bekas pekerja kedai serbaneka 7 Eleven.

Majistret Nabilah Nizam membuat teguran itu selepas mendengar rayuan tertuduh, Ilham Shafiq Fithal, 22, yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini mencuri wang tunai berjumlah RM8,540.60 bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bagi mencapai niat telah mencuri wang berkenaan dalam peti besi milik 7 Eleven Taman Sin Hoe, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.20 tengah hari 31 Mac lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pengadu mendapat panggilan daripada pekerjanya memberitahu tertuduh yang merupakan bekas pekerjanya telah mengambil kunci peti besi kedai berkenaan dan melarikan wang di dalamnya.

Pemeriksaan pengadu selepas itu mendapati, wang tunai berjumlah RM8,680 sudah tiada dan hasil penelitian pada sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan lelaki berkenaan adalah bekas pekerjanya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang singkat kerana isterinya baru melahirkan anak pertamanya di Hospital Melaka pagi tadi.

Pengakuan tertuduh yang disertakan bukti itu kemudian ditegur Nabilah kerana kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan sehingga terpaksa meninggalkan isterinya sendirian di hospital.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah memberikan diri sendiri dadah jenis methaamphetamine di Pejabat Narkotik Melaka Tengah pada kira-kira pukul 2.20 pagi 20 April lalu.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam sebagai pengajaran dan menawarkan jaminan RM5,000 bagi kesalahan dadah.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, bagi kesalahan mencuri Nabilah memutuskan tertuduh dikenakan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,500 atau tambahan tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Bagi kesalahan dadah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan kes akan disebut semula pada 4 Jun ini
sementara menunggu laporan kimia. – MalaysiaGazette