Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Langganan pakej rangkaian 5G dalam kalangan pengguna di seluruh negara kini mencecah 35 peratus sehingga 17 April lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu seiring dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pelaksanaan rangkaian 5G dipercepatkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini dimaklumkan bahawa Perdana Menteri memberi penegasan tentang pelaksanaan rangkaian 5G.

“Perdana Menteri telah memberi penegasan bahawa manfaat dari 5G selain untuk rakyat biasa setakat 17 April telah mencecah lebih 35 peratus daripada keseluruhan jumlah pengguna telco telah memanfaatkan atau menempah pakej 5G,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, sektor industri dan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) merupakan potensi sebenar rangkaian 5G khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Manfaat utama potensi sebenar 5G ialah penerimagunaan pelaksanaan tersebut bagi sektor industri dan PMKS.

“Insya-Allah minggu depan, ada beberapa pengumuman tambahan mengenai pelaksanaan rangkaian 5G dan ini akan memberi halatuju yang sangat jelas tentang dwi rangkaian yang telah diumumkan sebelum ini.

“Dasar dwi rangkaian akan diteruskan dan ada pengumuman susulan Insya-Allah menjelang minggu depan.

“Perdana Menteri meminta ia dipercepatkan khususnya berkait dengan isu AI dan sektor semi konduktor,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo akan membuat beberapa pengumuman mengenai perkembangan semasa kedudukan Digital Nasional Berhad (DNB) di Pulau Pinang, esok.

“Menteri Digital akan membuat beberapa pengumuman berkenaan dengan pelantikan ahli Lembaga Pengarah dan beberapa hala tuju bagi DNB esok,” katanya.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengadakan satu perbincangan untuk percepat pelaksanaan penerimagunaan rangkaian 5G khusus bagi sektor industri dan PMKS.

“Perdana Menteri ada menyebut tentang acara KL20 yang telah berjaya dilaksanakan dengan beberapa pengumuman yang agak signifikan dan besar.

“Maklum balas yang beliau terima daripada mereka yang hadir pada hari pertama, hampir 5,000 orang telah membanjiri KL20 Summit ini ialah format yang telah dilaksanakan adalah bertepatan dan bersesuaian.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa acara ini akan menjadi Insya-Allah bakal mendatangkan kesan yang cukup positif kepada masa depan industri atau ekonomi Malaysia dan akan ada tindakan susulan,” katanya. – MalaysiaGazette