Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang buruh warga Indonesia yang dikatakan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan pada 22 April lalu kerana tidak membalas pertanyaannya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu berjaya diberkas  di sebuah apartmen di Jalan Pandan Perdana, di sini.

Katanya, polis telah menerima aduan daripada kanak-kanak itu sendiri yang menjadi mangsa.

“Mangsa yang merupakan kanak-kanak Bajau berusia 11 tahun menyatakan lebih kurang 9 malam pada Isnin lalu dia berada di dalam lif untuk turun ke kedai runcit di apartmen rumahnya.

“Suspek yang berada di dalam lif yang sama didapati telah bertanyakan nama dan nombor telefon mangsa namun ia tidak diendahkan kanak-kanak itu sebelum suspek yang tidak puas hati bertindak memegang tangan dan punggung mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azan, bertindak atas aduan mangsa, sepasukan polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang suspek lelaki warga Indonesia yang disyaki melakukan jenayah tersebut.

Suspek yang ditahan itu merupakan seorang pekerja buruh berusia 32 tahun.

“Suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan negatif dan semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 merujuk kepada amang seksual terhadap kanak-kanak yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette