Sasikala Devi menunjukkan rampasan dadah dan bagasi milik suspek yang ditahan di KLIA2 ketika cuba menyeludup keluar dadah ke Sibu Sarawak pada 22 April lalu dalam sidang media kejayaan di Mess Pegawai IPK Selangor hari ini.

SHAH ALAM – Dua buruh binaan dicekup ketika cuba membawa keluar dadah bernilai RM1.76 juta ke Sibu, Sarawak dalam dua bagasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 22 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, dadah itu dikesan menerusi mesin pengimbas sekitar 4 pagi, Isnin lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati 7 kilogram dadah jenis methaphetamine, pil Erimin 5 seberat 5.950kg dan pil ekstasi seberat 61 gram yang disimpan di dalam beg sandang dan sebuah bagasi milik suspek warga tempatan dan Indonesia itu yang berusia 29 dan 44 tahun itu.

“Susulan tangkapan kedua-dua suspek, polis kemudian melakukan serbuan di sebuah unit kondominium yang disewa mereka di Seri Kembangan dan menemui 9 kg pil eramin 5 dan 169.65 gram ketamin,” katanya dalam sidang media kejayaan tersebut di Mess Pegawai Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.

Semakan polis mendedahkan, suspek tempatan itu mempunyai empat rekod lampau dadah manakala kedua-dua suspek itu juga positif methaphetamine dan amphetamine.

“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek aktif menyeludup dadah sejak empat bulan lalu, mensasarkan Sibu dan pernah beberapa kali menggunakan KLIA2 membawa dadah ke negeri tersebut.

“Mereka mungkin terlalu yakin dengan kejayaan sebelum ini, cuba menyeludup lagi kali ini pada waktu awal pagi sewaktu pergerakan penumpang kurang dengan harapan boleh terlepas daripada pemeriksaan.

“Namun, polis bantuan yang bertugas di KLIA2 mula berasa curiga dengan bagasi suspek yang telah dimasukkan ke mesin pengimbasan sebelum pemeriksaan berjaya membongkar penemuan dadah dalam plastik hitam dan dikunci di dalam beg sandang yang disimpan di dalam bagasi pakaian itu,” katanya.

Sasikala Devi berkata, rumah yang disewa di Seri Kembangan itu dipercayai menjadi tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diseludup keluar ke Sarawak.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari mulai 22 hingga 28 April ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sasikala Devi berkata, polis masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat tentang bekalan dadah itu dan mengesan saki-baki suspek yang berkemungkinan terlibat dalam kegiatan tersebut.-MalaysiaGazette