Suasana luar rumah kediaman keluarga Allahyarham Leftenan Komander, Allahyarham Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi ketika tinjauaan malaysia gazette di Senawang, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 23 APRIL 2024.

SENAWANG – Jenazah Leftenan Komander Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Taman Senawang Perdana terlebih dahulu sebelum dikebumikan lewat petang ini.

Allahyarham Mohammad Amirul Faris – salah seorang daripada mangsa nahas helikopter di Lumut semalam – akan disolatkan buat kali kedua di Masjid At-Taufiqiah dan akan disemadikan di tanah perkuburan Forest Height di sini.

Menurut ahli keluarganya, ketetapan waktu untuk pengebumian jenazah bergantung kepada waktu ketibaan van yang membawa jenazah.

“Sekiranya jenazah tiba jam 7 malam, jenazah akan dikebumikan selepas solat Maghrib dan sekiranya tiba selepas Maghrib, maka jenazah akan disempurnakan selepas Isyak,” kata sepupu kepada Allahyarham Mohammad Amirul Faris.

Sementara itu, ahli-ahli keluarga allahyarham kini sudah memenuhi rumah keluarga Mohammad Amirul Faris.

Mohammad Amirul Faris merupakan 10 daripada mangsa korban nahas pesawat HOM dan Fennec yang sedang menjalankan raptai Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM Ke-90.

Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 40 tahun.

Tentera Laut Diraja Malaysia dalam kenyataan berkata, akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang mengorbankan 10 pegawainya. – MalaysiaGazette