Liang lahad siap digali bagi proses pengebumian Allahyarham Muhammad Firdaus di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jenazah Allahyarham Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli akan dibawa ke Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini sebaik selesai urusan di Ipoh.

Adik iparnya yang mesra dengan panggilan Lina berkata, jenazah akan dibawa terus ke masjid atas permintaan keluarga.

“Setakat ini proses bedah siasat Muhammad Firdaus belum selesai lagi dan dimaklumkan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akan keluarkan semua jenazah sebaik semua urusan selesai.

“Kita tak tahu berapa lama lagi urusan (bedah siasat dan istiadat khas penghormatan terakhir) akan berjalan Ipoh jadi keluarga mahu jenazah terus dibawa ke masjid sebelum proses pengebumian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu media melaporkan, proses bedah siasat semua mangsa nahas helikopter TLDM terhempas di Lumut dijangka selesai jam 2 petang.

Lapan jenazah mangsa Islam akan dibawa ke Kem Syed Putra atau Markas Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja (23 RAMD) di Jalan Tambun, Perak untuk disolatkan dan diadakan istiadat khas penghormatan terakhir.

Manakala dua jenazah bukan Islam iaitu mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dan Leftenan T. Sivasutan masing-masing akan dibawa ke Kampung Engkaroh Tebakang Serian, Sarawak serta Taman Serdang Jaya, Sitiawan.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini mendapati liang lahad bagi proses pengebumian Allahyarham Komander Muhammad Firdaus telah siap digali.

Anggota TLDM sedang melakukan persiapan termasuk pemasangan khemah di lokasi pengebumian.

Difahamkan, kubur itu mula digali bermula jam 7 pagi tadi untuk memudahkan dan melancarkan perjalanan terakhir Allahyarham. 

Selain itu, anggota TLDM turut dilihat melakukan persiapan termasuk memasang khemah di lokasi berkenaan.

Media semalam melaporkan dua helikopter TLDM iaitu pesawat HOM (503-3) dan Fennec dilaporkan terhempas ketika menjalani latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan mereka yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat). – MalaysiaGazette