Lima penjawat awam direman tiga hari bagi siasatan kes suapan.

SHAH ALAM – Lima penjawat awam direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM3,000 hingga RM15,000 sebagai balasan supaya tidak mengenakan pemotongan bayaran tuntutan bulanan  bagi kerja-kerja kontrak pembersihan yang dijalankan oleh sebuah syarikat pembersihan swasta di sekitar bandar raya ini.

Menurut sumber, empat suspek lelaki dan seorang perempuan berusia sekitar 30-an hingga 40-an telah ditahan semalam kira-kira jam 3 petang ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi dan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 April 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2018 hingga 2020 dan wang rasuah yang diterima adalah secara pindahan ke akuan peribadi masing-masing.

“Wang berkenaan sebagai balasan tidak mengenakan pemotongan Notice-To-Correct ke atas sebuah syarikat pembersihan swasta bagi kerja-kerja pembersihan yang dilakukan di sekitar Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette