KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia kekal 1.8 peratus pada Mac 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.2 berbanding 129.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan inflasi ini didorong oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.0%); restoran dan perkhidmatan penginapan (3.0%); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6%) dan pengangkutan (1.3%).

Namun begitu, peningkatan ini telah diimbangi dengan kumpulan utama yang merekodkan peningkatan lebih perlahan iaitu kesihatan (2.1%); makanan dan minuman (1.7%) dan rekreasi, sukan & kebudayaan (1.5%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan 3.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada Februari 2024 bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain disumbangkan oleh kelas perbelanjaan bekalan air yang meningkat kepada 31.4 peratus pada Mac 2024 (Februari 2024: 28.8%).

Negeri Kedah telah menaikkan kadar tarif perkhidmatan bekalan air bagi kategori pengguna domestik bermula Mac 2024 berbanding negeri lain yang telah melaksanakan kadar tarif baharu pada Februari 2024.

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran indeks harga pengguna mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 1.7 peratus pada Mac 2024 (Februari 2024: 1.9%).

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.3 peratus pada bulan Mac 2024 (Februari 2024: 0.5%).

Sementara itu, subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat kepada 3.5 peratus, kadar yang sama direkodkan pada Februari 2024.

Inflasi kelas perbelanjaan bijirin & produk bijirin meningkat kepada 2.0 peratus pada Mac 2024 (Februari 2024: 2.5%) disumbangkan oleh beras basmati yang meningkat perlahan 0.4 peratus berbanding 1.0 peratus pada Februari 2024.

Manakala, tepung beras meningkat kepada 9.6 peratus (Februari 2024: 8.8%).

Inflasi kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain & telur mencatatkan peningkatan perlahan 1.4 peratus pada bulan Mac 2024 (Februari 2024: 2.3%).

Kenaikan yang lebih rendah telah dicatatkan oleh item perbelanjaan susu segar 2.4 peratus (Februari 2024: 2.5%), sementara itu, inflasi bagi kelas perbelanjaan minyak dan lemak kekal pada jajaran negatif iaitu negatif 0.1 peratus pada Mac 2024 (Februari 2024: -0.2%).

Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging meningkat perlahan kepada 0.2 peratus pada bulan Mac 2024 (Februari 2024: 0.5%).

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging mencatatkan penurunan kepada negatif 1.1 peratus (Februari 2024: -0.7%).

Purata harga ayam standard di peringkat Malaysia pada Mac 2024 adalah RM10.28 sekilogram berbanding RM10.40 sekilogram pada bulan Mac 2023 (Februari 2024: RM10.29).

Kenaikan bagi inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan kepada 3.0 peratus (Februari 2024: 2.9%) disebabkan oleh peningkatan perkhidmatan penyediaan minuman 3.7 peratus (Februari 2024: 3.4%).

Dalam masa yang sama, inflasi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan mencatatkan peningkatan 2.6 peratus (Februari 2024: 2.5%) didorong oleh peningkatan subkumpulan barangan peribadi lain, 9.8 peratus (Februari 2024: 8.6%).

Selain itu, inflasi pengangkutan pula meningkat 1.3 peratus pada Mac 2024 berbanding 1.2 peratus pada Februari 2024. Peningkatan tersebut disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.4 peratus pada Mac 2024 (Februari 2024: 1.3%).

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97, harga yang ditetapkan pada bulan Mac 2024 adalah RM3.47 seliter berbanding RM3.35 seliter pada bulan Mac 2023 (Februari 2024: RM3.47).

Mohd Uzir Mahidin turut berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.0%), Sarawak (2.9%), Pahang (2.1%), Selangor (2.1%) dan
Perlis (1.9%).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor (3.2%), diikuti oleh Pulau Pinang (2.8%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6%), Sarawak (2.1%), Perlis (2.1%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (2.0%).

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman nasional iaitu 1.7 peratus pada Mac 2024. – MalaysiaGazette