Logo Indah Water di Menara TM One Damansara, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd
diiktiraf sebagai salah satu daripada empat peneraju utama dalam Sustainable Development Goal 6 (SDG6) Pledge pada Sidang Kemuncak Air Sedunia 2024.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pengiktirafan tersebut bukti dedikasi IWK sebagai salah satu daripada 300 Pemimpin Air Global (Inisiatif Peneraju Air) yang sentiasa komited dalam mencapai komitmen SDG6 2030.

Katanya lagi, pencapaian berkenaan menggariskan peranan penting IWK dalam menyuntik inspirasi dan meningkatkan kesedaran SDG6 di peringkat global.

“Adalah sesuatu yang menyuntik inspirasi kepada semua apabila menyaksikan Malaysia melangkah ke pentas global, bergandingan bahu dengan pemimpin dari industri utiliti di seluruh dunia.

“Pengiktirafan yang telah dicapai IWK ini pastinya menyemarakkan lagi komitmen sedia ada dalam menjayakan
inisiatif hijau yang lebih mampan selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan.

Dalam masa yang sama Pengerusinya, Ahmad Johnie Zawawi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, Fadillah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan semua pihak berkepentingan termasuk pelanggan IWK kerana memberikan sokongan yang berterusan.

Beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut sangat berharga tatkala IWK menyambut ulang tahun ke -30 tahun ini.

“Untuk berada di kedudukan empat teratas dalam SDG adalah satu peristiwa penting bagi IWK. IWK akan terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan mampan, memberi tumpuan kepada pengurusan sistem pembetungan yang bertanggungjawab, perlindungan kesihatan awam, memupuk amalan hijau yang inovatif dan memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, syarikat tersebut memberi jaminan untuk kekal komited demi mencapai kecemerlangan berterusan dalam semua aspek operasi syarikat, dengan tumpuan khusus untuk memajukan usaha pemuliharaan alam sekitar selaras.

“Dalam langkah kami untuk maju ke hadapan, kami tetap teguh dengan keazaman untuk tingkatkan inovasi, kerjasama dan memimpin melalui teladan, di samping memupuk masa depan yang mampan untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Sebagai rekod, Sidang Kemuncak Air Sedunia yang diadakan di London, United Kingdom baru-baru ini mengumpulkan kira-kira 900 pemain industri air selain menghimpunkan golongan profesional, pihak berkepentingan dan pakar dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran utama, inovasi dan peluang dalam sektor air.

Sidang kemuncak itu merangkumi pelbagai topik termasuk pengurusan air, teknologi, kewangan, dasar dan kemampanan serta berfungsi sebagai platform untuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama dalam menangani isu air global secara
kolektif.

Tiga lagi syarikat lain yang menerima pengiktirafan yang sama adalah Phnom Penh Water Supply Authority dari Kemboja, National Water & Sewerage Corporation dari Uganda dan Sanepar dari Brazil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast