SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman lima individu yang sebelum ini ditahan pada Selasa lalu kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Perintah sambungan reman selama satu hari sehingga 26 April dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar hari ini berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat hari ini.

Selasa lalu, SPRM  menahan enam individu sekitar jam 6.30 petang ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Perlis dan semua suspek telah direman selama dua hari bermula 24 April 2024.

Mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman berkenaan namun seorang suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette