PUTRAJAYA – Malaysia akan meneroka kerjasama dengan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) selari dengan minat negara untuk memacu inovasi kewangan Islam, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata Malaysia memainkan peranan penting sebagai ahli pengasas.
Malaysia menyertai IsDB pada 12 Ogos 1974. Keahlian semasa bank ini terdiri daripada 57 negara.
“Tahun ini adalah sambutan jubli IsDB, dan sejajar dengan minat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk Malaysia memacu inovasi kewangan Islam, Malaysia akan meneroka potensi kerjasama dengan IsDB,” katanya kepada Bernama.
Johan akan mewakili Kementerian Kewangan pada mesyuarat tahunan IsDB tahun ini dan jubli emas IsDB di Riyadh, Arab Saudi bermula 27 hingga 30 April.
Pada mesyuarat IsDB tahun lepas, Malaysia dan bank itu membincangkan kaedah untuk mengukuhkan hubungan dua hala di samping meninjau potensi kerjasama strategik dalam ekonomi halal, kewangan Islam dan pendigitalan.
Ia turut melihat kaedah untuk memperkukuh peranan Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur.
Mesyuarat pada tahun ini akan disertai oleh menteri ekonomi, perancangan dan kewangan daripada 57 negara anggota IsDB dan memberi peluang untuk meneroka kaedah memperkuat hubungan ekonomi dalam kalangan negara anggota IsDB.
IsDB dalam kenyataan berkata mesyuarat itu juga akan memaksimumkan kerjasama dengan institusi pembiayaan yang menyertainya.
Ia akan turut dihadiri oleh wakil institusi kewangan antarabangsa dan serantau, bank Islam, syarikat sektor swasta, institusi kewangan pembangunan nasional dan antarabangsa, organisasi global dan serantau, pertubuhan bukan kerajaan, dewan perniagaan dan industri, serta majlis perniagaan.
“Mesyuarat tahunan 2024 akan diadakan bertemakan ‘Menghargai masa lalu, melakar masa depan kita: keaslian, perpaduan dan kemakmuran.’ Ia menandakan 50 tahun IsDB mendorong pembangunan sosioekonomi dalam kalangan negara anggota.
“Selaku bank pembangunan multilateral selatan-selatan utama, mesyuarat tahunan dan jubli emas ini dijangka menarik perhatian antarabangsa dan serantau. Ia juga akan melibatkan acara sampingan dengan ahli panel peringkat atasan daripada kerajaan, organisasi antarabangsa dan serantau, sektor swasta, ahli akademik dan masyarakat,” katanya.
IsDB juga akan meraikan jubli emasnya untuk memperingati kerjasama kukuh selama lima dekad, perkongsian yang teguh dan perubahan transformatif.
Acara ini akan menandakan perjalanan IsDB bermula 50 tahun lepas di Riyadh dengan mesyuarat sulung lembaga pengelolanya, menyaksikan Emir Riyadh pada masa itu Putera Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berkenan berangkat menyertainya.
Beberapa forum, seminar dan mesyuarat akan diadakan antaranya Mesyuarat Meja Bulat Gabenor, Forum Global IsDB mengenai Kewangan Islam ke-18, Forum Sektor Swasta Kumpulan IsDB 2024, Peranan PKS dalam Visi Saudi 2030, Merangka Kursus untuk Mempertingkat Pembiayaan SDG dan Memanfaatkan Kewangan Islam untuk Membangunkan Infrastruktur Mampan dan Berdaya tahan.
Arab Saudi adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala US$10.26 bilion pada 2022, peningkatan 159.2 peratus berbanding 2021. – BERNAMA