SEPANG – Perdana Menteri menegaskan pihak berkepentingan yang disebut dalam laporan Bloomberg seharusnya mengambil tindakan terhadap dakwaan kononnya kerajaan akan mengeluarkan lesen untuk operasi kasino di Forest City, Johor.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan saman terhadap laporan berkenaan, Anwar menjawab; “Mereka (pihak berkepentingan) yang akan ambil tindakan lanjut.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai solat Jumaat di Pusat Muktamar Islam Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini.
Anwar turut menjelaskan, pihak-pihak yang disebut dalam laporan itu juga seharusnya mengambil tindakan lanjut.
“Those who mention must take the nesssary action. (Mereka yang menyebut perlu mengambil tindakan yang diperlukan),” katanya lagi.
Semalam, Anwar menafikan laporan yang mendakwa kerajaan akan mengeluarkan lesen untuk pengoperasian kasino di Forest City, Johor.
Anwar juga berkata, laporan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
Laporan Bloomberg yang memetik sumber berkata, projek kasino berupaya menyuntik pemulihan terhadap projek Forest City bernilai RM478.35 bilion.
Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih, lapor Bloomberg.
Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut Perdana Menteri berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan. – MalaysiaGazette