Bruce Gilley

KUALA LUMPUR – Semua pihak supaya berwaspada dengan agenda terancang proksi zionis di negara ini yang wujud di pelbagai bentuk dan tempat.

Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) dalam kenyataan hari ini  kesal dengan tindakan Universiti Malaya (UM) yang menjemput ahli akademik pro-Israel, Dr Bruce Gilley bagi memberi syarahan baru-baru ini.

“Semua pihak sepatutnya lebih berhati-hati ketika menjemput mana-mana tokoh luar sebagai penceramah di mana-mana institusi pendidikan negara ini.

“Pada 27 Januari 2024 yang lalu, tentera Israel secara rasminya telah memusnahkan universiti terakhir yang bertahan iaitu Universiti Israa di selatan bandar Gaza.

“Justeru, orang yang menyokong pemusnahan semua universiti di Gaza adalah tidak sepatutnya diberi ruang untuk bercakap di universiti-universiti di Malaysia,” kata kenyataan yang sama.

Profesor sains politik dari Amerika Syarikat itu menerima kecaman ramai selepas ucapannya menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi. – MalaysiaGazette