SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan ke atas isu melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setakat ini SPRM merakam percakapan seramai 14 saksi dan membuat pemeriksaan ke atas 10 premis yang berkaitan dengan tohmahan tersebut.

Menurut sumber, siasatan memberikan fokus utama kepada cadangan projek pembinaan National Training Center (NTC) di Putrajaya yang dianggarkan berjumlah RM25 juta.

Katanya, hasil siasatan ke atas projek pembinaan NTC mendapati peruntukan yang dikeluarkan adalah dari sumber FIFA.

Sumber berkata, sebanyak tujuh kontraktor telah dipanggil untuk menyertai tender tersebut. Tiga syarikat telah disenarai pendek berdasarkan keupayaan dan tawaran yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi FIFA.

Ketiga-tiga syarikat telah dikemukakan kepada FIFA yang bermesyuarat pada 8 April 2024 dan sebuah syarikat telah dilantik untuk pelaksanaan projek.

Status semasa adalah penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil keputusan pemilihan yang dibuat sendiri oleh FIFA.

Tambah sumber, siasatan kes FAM telah hampir siap dan akan dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk kajian dan keputusan.

Setakat ini, SPRM tidak menemui sebarang penyelewengan dan rasuah dalam kes berkaitan.

Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (O) SPRM mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh telah dilaksanakan berhubung perkara ini.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ketua Pesuruhjaya, pihak SPRM hanya memfokuskan kepada isu-isu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Namun SPRM menyerahkan kepada Bahagian Pendakwaan untuk sebarang keputusan lanjut. – MalaysiaGazette