Tuesday, October 22, 2024
Home Ekonomi Kadar baharu PSC lebih adil – MAVCOM

Kadar baharu PSC lebih adil – MAVCOM

KLIA diuruskan oleh MAHB.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjelaskan pelaksanaan pindaan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) ke atas penumpang pemindahan melalui Malaysia adalah selaras dengan langkah yang diambil pengawal selia lapangan terbang lain seperti Singapura dan Thailand.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, kadar pindaan PSC itu dilihat lebih adil untuk Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan penumpang.
“Penumpang pemindahan juga menikmati semua perkhidmatan yang ditawarkan lapangan terbang.
“Justeru, pindaan PSC ini adalah adil dan banyak lapangan terbang lain sudah melaksanakannya,” katanya pada sidang media sidang media berhubung perkembangan terkini pelaksaan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang, di sini, hari ini.
Pada bulan lalu, MAVCOM mengumumkan pindaan kepada PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula 1 Jun ini hingga 31 Disember 2026.
Suruhanjaya itu menjelaskan, tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2024 tidak akan tertakluk kepada kadar baharu itu, walaupun tarikh perjalanan berlaku pada atau selepas tarikh tersebut.
Kadar itu termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang, menurutnya.
MAVCOM memaklumkan pihaknya mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB).
Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain, tambah suruhanjaya itu.
Kadar PSC semasa ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN masing-masing pada RM35 dan RM73.
Mavcom juga memperkenalkan PSC transfer bagi RP1, di semua lapangan terbang di Malaysia dengan kadar untuk perjalanan domestik melalui semua lapangan terbang ialah RM7 manakala kadar RM42 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA dan RM29 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain. – MalaysiaGazette