SHAH ALAM – Sepasang kekasih menjadi dalang sindiket pengedaran dadah berjaya diberkas pada Sabtu lalu di sebuah kondominium di Puchong Jaya baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, turut dirampas pelbagai jenis dadah dengan jumlah keseluruhan RM4.73 juta.
“Pasangan tersebut ditangkap di lobi kondominium 3.15 pagi kemudian di dalam kediamannya polis menemui dadah jenis pil Erimin 5 dengan anggaran berat 2.0 gram dan syabu 1.6 gram di ruang tamu,
“Selepas itu suspek pandu arah ke kereta yang diletakkan di tepi jalan Puchong Jaya dengan dadah jenis MDMA, ketamin 5.4 kilogram (kg), heroin (1.3 kg), syabu (1 kg) dan pil ekstasi seberaf 548.72 gram di dalam kereta yang disewa pasangan tersebut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Kok Chin berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock dan kelopak magazin berisi 15 dan 17 butir peluru termasuk mesin menghasilkan dadah.
“Turut disita kereta jenis Mercedes bernilai RM178,600, dua bentuk cincin bernilai RM3,500 dan wang tunai RM4,500 menjadikan jumlah rampasan kesemuanya RM186,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, pasangan kekasih yang berumur 35 dan 32 tahun itu warga tempatan dipercayai mula mengedar dadah sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.
“Kedua-duanya tidak bekerja selain mengedar dadah. Kedua-dua suspek mempunyak 14 rekod jenayah, enam rekod lampau pelbagai kes dan selebihnya dadah,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil saringan air kencing mendapati pasangan kekasih tersebut positif dadah.
“Kedua-dua direman sejak 27 hingga 3 Mei ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette