Bungkusan tertulis bom yang ditemui di mesin imbasan Kargo KLIA di Sepang dalam kejadian pada 25 April lalu oleh polis.- Gambar ihsan IPD KLIA.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pekerja setor yang secara gurauan menulis bom atas bungkusan yang bersedia untuk penghantaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akhirnya membawa padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Sha’riat berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun mengenai insiden ancaman bom di mesin imbasan kargo GTR KLIA tersebut pukul 1.30 petang pada 25 April lalu.

Bertindak atas laporan, sepasukan polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertanggungjawab dalam insiden tersebut pada hari sama.

“Suspek seorang lelaki berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjaga setor beralamat dari Seri Kembangan telah ditahan selepas diminta hadir ke IPD KLIA untuk dirakam keterangan oleh polis membantu siasatan kes ini.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 11.42 pagi di Kargo GTR KLIA.

“Suspek hasil soal siasat awal mengaku dia ada menulis perkataan bom atas balutan bungkusan plastik hanya untuk bergurau tetapi tidak sempat memadamkannya kerana bungkusan tersebut telah diambil oleh ejen kurier,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah.

Jika disabitkan kesalahannya boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan sepenuhnya dan akan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Hasilnya kami menerima arahan untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Sepang pagi ini (Isnin),” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman memberi peringatan dan amaran tegas kepada orang ramai, syarikat serta ejen atau syarikat penghantar agar sentiasa peka dan tidak membuat sebarang catatan atau percakapan lisan berkaitan bom atau apa apa berkaitan bahan letupan di kawasan sensitif  membabitkan kargo dan KLIA.

“PDRM sentiasa mengambil serius atas keselamatan dan ketenteraman awam dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan,” ujarnya. -MalaysiaGazette