Majlis Anugerah Francais Genius Aulad 2024 berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pusat pendidikan awal kanak-kanak, Genius Aulad menyasarkan akan memiliki 100 cawangan menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Genius Aulad International Group Sdn. Bhd., Zaliza Alias berkata, jumlah itu merupakan pertambahan 18 cawangan daripada 82 cawangan sedia ada dengan sasaran lokasi di Pantai Timur.

Justeru, pihaknya mengalu-alukan mereka yang berminat membuka cawangan francais di kawasan itu bagi menembusi pasaran di pekan kecil dalam usaha menawarkan pendidikan awal berteraskan Islam kepada lebih ramai kanak-kanak.

“Genius Aulad telah melalui pengalaman yang luar biasa dan tahun ini kami berjaya membuka lagi cawangan francais terbaru di Bintulu, Sarawak dan bersedia untuk mengembangkan operasi di seluruh negara.

“Dengan permintaan terhadap pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti semakin meningkat, ini adalah peluang terbaik untuk menjadi usahawan dalam bidang ini dengan kadar pulangan dijangka antara tiga hingga lima tahun,” katanya pada Majlis Anugerah Francais Genius Aulad 2024, baru-baru ini.

Genius Aulad yang dibuka pada 2000 dengan jumlah 20 pelajar kini merupakan prasekolah yang menggabungkan pendidikan agama Islam dan Bahasa Inggeris yang menjadi pilihan ibu bapa di Malaysia.

Kini, selepas 24 tahun penubuhannya, Genius Aulad telah menawarkan peluang pekerjaan kepada 4,500 tenaga pengajar yang mendidik lebih 80,000 kanak-kanak menerusi 88 cawangannya di seluruh negara.

Sejak beberapa tahun lalu, Genius Aulad menerima pelbagai anugerah Prasekolah Terbaik di peringkat kebangsaan antaranya Anugerah Kepimpinan Perniagaan Global untuk Kecemerlangan Pendidikan Prasekolah, Anugerah Perusahaan Asia Pasifik (APEA) dalam Kategori Kecemerlangan Korporat untuk Pendidikan & Latihan, dan Anugerah Jenama Terbaik Halal Dunia Jenama Laureate dalam kategori Kepimpinan Perniagaan & Komuniti.

Zaliza Alias.

Mengulas lanjut, Zaliza mengakui, pihaknya berdepan cabaran berikutan terdapat ibu bapa yang meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap anak-anak mereka.

Jelas beliau, ini kerana terdapat golongan itu yang tertekan apabila anak mereka masih lagi tidak mampu membaca berbanding anak-anak lain.

“Saya mahu terus membangunkan industri prasekolah Islam dan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyeronokkan di negara ini.

“Kemahiran asas seperti penyelesaian masalah dan kemahiran sosial juga penting untuk pertumbuhan kanak-kanak secara menyeluruh.

“Kerjasama antara guru, ibubapa dan penjaga adalah penting untuk menciptadan membangunkan kurikulum yang merangkumi kemahiran teknologi dan hidup yang seimbang dan sesuai dengan keperluan setiap kanak-kanak mengikut peringkat,” katanya.

Zaliza turut memberitahu, Genius Aulad sentiasa memupuk minat kanak-kanak dalam bidang seni termasuk persembahan sebagai antara langkah mempersiapkan generasi yang mempunyai pelbagai kemahiran dalam hidup.

Lebih menarik, murid-murid di GA juga sentiasa menjadi pilihan dan menerima undangan stesen televisyen utama bagi program bersesuaian terutamanya persembahan membabitkan kanak-kanak.

Beliau berkata, GA memupuk bakat dalam pelbagai bidang seni seperti seni lukis, seni suara dan seni tari menerusi program Creativity, Physical Activity dan Science Craft. – MalaysiaGazette