Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan aktivis politik, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana disyaki mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan tentang tangkapan individu tersebut.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima berkaitan video berkenaan (aibkan YDPA). Individu berkenaan ditahan di kediamannya di Setapak bagi membantu siasatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Razarudin, lelaki berusia 41 tahun itu kini dalam proses permohonan reman dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, kenyataan yang dibuat Papagomo menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 46 saat itu memaparkan kenyataan individu terbabit berhubung isu KK Mart sambil mempersoalkan tindakan YDPA berjumpa dengan pemilik KK Mart.

Selain itu, dalam video terbabit turut lelaki berkenaan turut membuat tuduhan menyatakan bahawa YDPA yang mengarahkan Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, 45, dituduh di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948.

Individu itu difahamkan telah ditahan sekitar pukul 11.30 pagi tadi di Setapak oleh sepasukan polis.

Satu rakaman video yang memaparkan lelaki itu ditahan dan dimasukkan ke dalam kenderaan di hadapan rumah tular di media sosial. – MalaysiaGazette